Tuesday 14 September 2010

Apabila Hilang Perikemanusiaan

Pada 11 September 2010 lalu (hari raya kedua) kita digemparkan dengan berita pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga yang lain iaitu peguam peribadi, pegawai bank dan pemandunya. Setelah lebih seminggu kehilangan mereka dilaporkan inilah berita yang paling mengejutkan seluruh rakyat Malaysia kerana cara kematian mereka yang begitu tragis. Kita tidak dapat menerima dengan akal fikiran yang waras kenapa ada manusia yang begitu kejam, berhati binatang dan tidak berperikemanusiaan. Begitu mudah membunuh dan mengambil nyawa orang lain semata-mata kerana tamak.

Kecekapan pihak polis berjaya menahan suspek dalam tempoh yang singkat amatlah dibanggakan. Kes berprofil tinggi seperti ini sememangnya menarik perhatian ramai dan semua pihak mahu pembunuh dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin dan dijatuhkan hukuman yang setimpal dengan perbuatan mereka.

Kes ini perlu menjadi pengajaran kepada semua orang supaya lebih berhati-hati dan tidak terlalu mempercayai orang lain walaupun dikenali. Manusia ini kalau kerana wang akan sanggup berbuat apa saja. Hatta, keluarga, adik beradik sendiri pun ada yang tidak bertegur sapa, bergaduh sesama sendiri malahan lebih teruk hingga saman-menyaman. Begitulah hebatnya kerana duit. Tak ada duit susah, ada duit pun susah juga.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka dan menempatkan mereka semua di dalam golongan yang beriman.

Al-fatihah.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin