Sunday 28 November 2010

Kunjungan Ke Expo MAHA 2010

Hujung minggu ni aku berada di Seri Kembangan. Tempat yang aku sering teruja untuk pergi. Namun aku tidak pasti apakah aku dapat datang atau tidak ke sini lagi selepas ini. Selain bertujuan untuk berkunjung ke rumah Salawati buat kali terakhir (kerana dia akan berpindah ke projek baru di Karak mulai Januari 2011), aku bercadang untuk pergi ke expo MAHA 2010 (Malaysian Agriculture, Horticulture and Agrotourism) bersama Salawati pada hari Ahad. Expo ini diadakan setiap dua tahun sekali di Taman Expo Pertanian Malaysia, Serdang (MAEPS) dan pada tahun ini ianya diadakan pada 26 November - 5 Disember 2010.

Kami keluar dari rumah lebih kurang jam 10.15. Selepas bersarapan serba ringkas kami pun gerak ke expo. Apabila mula memasuki susur untuk ke expo kenderaan mula bergerak perlahan. Jalan 3 lorong telah menjadi 4. Punyalah ramainya orang yang akan menuju ke destinasi yang sama. Akhirnya sampai juga ke tempat yang dituju. Memang sesak dengan kenderaan dan orang ramai. Itulah gambaran yang dapat diberikan. Kereta parking di mana sahaja asal ada ruang kosong. Ada yang terpaksa berjalan jauh kerana tiada lagi ruang parking yang dekat. Di mana2 sahaja kawasan seluas itu penuh dengan orang ramai. Memang kelihatan hanya lautan manusia yang datang dengan bermacam ragam. Memandangkan sekarang tengah cuti sekolah maka ramailah yang datang bersama keluarga dari yang sekecil2 anak hinggalah sebesar2 bapak. Memang meriah. Cuaca juga tidak menentu. Sekejap mendung, sekejap panas dan sekejap hujan. Namun begitu tidak menghalang orang ramai dari berpusu2 datang untuk menyaksikan pameran terbesar seumpamanya di Asia ini.

Disebabkan orang terlalu ramai maka keadaan agak tidak selesa. Kawasan pameran yang luas juga memaksa pengunjung menaiki tram untuk bergerak dari satu tempat ke tempat pameran lain. Maka bersesak2lah orang ramai dalam tram tersebut. Disebabkan tram yang disediakan agak terhad maka orang ramai terpaksa menunggu dan beratur panjang untuk menaiki tram. Memang menguji kesabaran. Aku telah melalui pengalaman kali kedua berkunjung ke sini. Jadi telah faham keadaannya. Mungkin akan ada yang serik untuk berkunjung lagi ke sini. Namun kita memang tidak akan rugi untuk datang ke tempat seperti ini. Sangat menarik dan banyak infomasi yang boleh kita perolehi apabila melihat pameran yang diadakan. Namun disebabkan kesuntukan masa dan ada hal yang perlu dibuat petang ini kami tidak dapat melawat kesemua tempat yang ada. Walaupun agak terkilan kerana tidak dapat melihat semua pameran tetapi aku tetap puas hati kerana tercapai juga hasrat untuk berkunjung ke sini.

Antara gambar-gambar yang dapat dikongsikan sempena kunjungan ke pameran tersebut.



Jem giler.. on the way to expo..


Ramainya manusia..


Dewan pameran utama


Ni orang tengah beratur nak tunggu tram.. sabar je lah..


Sangat kreatif hiasan ni..


Cantiknya capsicum disusun begini..


Ini pun sama juga.. terung pulak..


Ahh.. geram tengok buah-buahan tu...


Lebatnya buah cili nih..


Ni nangka madu..


Bestnya tomato...


Macam2 orkid ada..


Cantiknya orkid..


Ros ni pun cantik..


Comel sangat ayam ni.. gebu..


Keletihan selepas berjalan jauh..

Thursday 25 November 2010

Dulu-Dulu Aku Suka...

Aku nak bercerita tentang perkara yang dulu2 aku suka buat atau lebih tepat menjadi habit atau aktiviti yang seronok untuk dibuat. Dulu2 tu maksudnya zaman aku sekolah atau zaman masa mula2 kerja dan duduk dengan ramai kawan2 serumah. Lebih kurang sekitar tahun 80-90-an. Masa berubah seiring dengan peredaran zaman. Walaupun semua tu tak lagi jadi kegemaran, kesukaan atau habitku, aku seronok bila mengenang kembali semua itu. Semua itu menjadi kenangan manis yang tercatat dalam diari kehidupanku.


Dulu-Dulu Aku Suka... Mancing Ikan

Ini citer masa zaman kanak2 dulu. Bila tiba waktu cuti sekolah antara aktiviti yang setiap hari aku dan adik2 serta kawan2 sekampung ku akan buat adalah memancing ikan. Ikan yang selalu kami dapat biasalah puyu dan sekali2 bila dapat ikan keli atau haruan punyalah suka sangat. Umpan yang kami gunakan biasanya cacing atau telur kerengga. Tapi kerengga ni susah sikit nak dapat sebab kena jolok sarangnya. Maklumlah bila dah ganggu tempat tinggalnya habislah kalau tak hati2. Sakit kalau terkena gigitan kerengga. Satu pengalamanyang tidak dapat dilupa bila kami dikejar orang gila masa memancing. Lintang pukang lari dalam semak. Sejak itu kami tak berani memancing jauh2 lagi. Takut. Maklumlah kami perempuan. Aktiviti memancing ni sampai hari ini aku masih suka dan ingin buat kalau berpeluang. Tak kiralah mancing kat mana sekalipun.


Dulu-Dulu Aku Suka... Tengok Citer Hindustan

Tak kiralah waktu bila ada citer hindustan aku mesti tengok. Bagi aku cerita hindustan ni yang paling menarik adalah kata2 yang diungkapkan. Sangat indah dan punya maksud yang mendalam. Aku tak kisah citer lama ke baru. Aku memang suka tengok. Sampai aku pernah beli beberapa CD citer yang aku suka tengok. Jalan ceritanya boleh dikatakan lebih kurang je... citer cinta yang stereotype, jahat giler2, bunuh2, tapi at last mesti happy ending. Aku suka dengar lagu2 dia. Sedap didengar. Citer yang paling meninggalkan kesan yang pernah aku tengok adalah citer Mann.. sampai aku menangis tengok citer ni.. Sedih sangatlah.. Lagi satu Devdas. Sangat tragis citernya. Aku paling suka pelakon kalau perempuan Juhi Cawla, Rani Mukherjee dan Mahima Chowdry. Cantik sangat. Kalau pelakon lelaki emm... Jackie Shroff, Sunny Deol dan Arjun Rampal. Tapi sekarang aku dah tak kisah kalau tak tengok. Sesekali je kalau betul2 free. Rasanya dah lama sangat aku tak duduk betul2 tengok dari awal citer sampai abis. Walaupun begitu sampai sekarang aku masih suka lagu hindustan. Tu tak boleh ubah.


Dulu-Dulu Aku Suka... Tengok Bolasepak

Ni aku nak citer masa Piala Dunia ataupun Piala Eropah. Aku mula betul2 tengok masa edisi France 98. Masa tu duk ramai2 dengan member2 serumah. Game pulak mula malam hingga awal pagi. Kami boleh duk depan tv bersorai-sorai menyokong pasukan masing2. Pastu sanggup pulak bersengkang mata bangun awal pagi nak tengok bola punya pasal. Tapi kena tidur dulu la.. Kalau tak, tak bangun la gi kerja esok. Tapi, piala dunia yang paling best sekali masa Korea Japan 2002 sebab time dia main lebih kurang waktu kita. Semua game main awal. Dapatlah tengok. Selepas daripada tu, aku dah tak sanggup nak bangun pagi semata2 nak tengok bola. Kalau nak tengok sangat pun pasukan yang aku suka ataupun final game. Walau apa pun aku masih mengikuti dengan teliti setiap game dan keputusan perlawanan. Dan aku masih ada pasukan favorite aku sendiri.

Haa.. satu perkara yang aku nak kongsi.. masa piala dunia tu.. aku sanggup beli surat khabar bila ada pasukan yang aku sokong menang. Pastu potong semua artikel yang aku suka termasuk gambar2 pemain atau info yang menarik masuk dalam folder . Masih ada simpan lagi folder tu sampai sekarang. Macam tak percaya je aku buat semua tu.


Dulu-Dulu Aku Suka... Tengok WWF (WWE)

Pelik bunyinya tapi ini betul.. Ni pun masa duduk ramai2 jugak.. Sebab masing2 dah minat tengok aku pun jadi terikut sama. Tiap malam Jumaat rancangan Smackdown. Jangan tak percaya orang perempuan tengok wrestling. Yang paling minat sapa lagi.. The Rock lah.. masa tu dia lah hero. Selain tu Steve Austin, Mankind, Triple H, Cane, Undertaker. Ramai lagilah kalau nak tulis kat sini... Yang jahat2 pun ramai. Memang menyampah kalau depa ni lawan. Game ni pulak ada macam2 title dia.. King of the Ring, Royal Rumble, No Mercy, Backlash, Judgement Day, No Way Out, Summerslam dan macam2 lah... Hehe... punya la minat sampai hafal semua nama dan game.


Dulu-Dulu Aku Suka... Tempah Baju

Haa.. ni masa aku kerja awal2 dulu. Setiap bulan mesti tempah baju 3-4 pasang. Baju kurung atau kebaya moden. Sampai mak aku bising sebab asyik tempah baju saje. Bila dah tak nak pakai baju2 tu aku bawak balik kampung sampai dah bertimbun baju2 tu dalam almari. Masih ada sampai sekarang. Macam2 fesyen yang aku tempah. Aku memang ada tailor tetap. Yang aku tempah sejak dari sekolah lagi. Tukang Jahit Indah namanya. Yang jahit tu aku panggil Ms Tan. Memang buatan dia sedap dipakai dan cantik jahitan dia.

Tapi sekarang aku dah tak rajin tempah baju sebab harga tempahan pun dah makin mahal. Dan lagi sekarang aku cuma pakai baju kurung pada hari jumaat saja. Jadi, tak perlulah nak tempah baju banyak2 lagi. Hari lain aku lebih gemar pakai pakaian pejabat yang bersesuaian seperti kasual, blouse, seluar atau skirt labuh yang boleh dibeli siap.

Satu cita2 ku yang masih belum tercapai adalah belajar menjahit. Teringin sangat nak belajar. Dapat jahit baju sendiri pun oklah. Dah jimat upah jahit baju. Tapi aku tak taulah akan tercapai atau tidak semua tu. Ada aje alasan aku.


Dulu-Dulu Aku Suka... Kumpul Resipi

Ini bab yang paling aku suka. Sebab aku suka masak. Entah berapa banyak dah resipi yang aku ada. Ambik kat internet, majalah, surat khabar, tv atau kat mana sahajalah yang aku jumpa dan aku rasa menarik aku akan simpan. Resipi yang aku mintak dari mak pun ada. Ni yang paling istimewa. Selain dari tu kalau pergi pesta buku tak sah kalau tak beli buku resipi atau majalah yang ada resipi yang menarik. Kalau berkesempatan aku memang teringin nak cuba resipi2 tu. Kalau pun tak cuba aku akan cuba compile elok2 dan simpan buat rujukan. Rasanya dah cukup resipi yang ada dan sebab tu lah sekarang aku dah tak buat lagi hobi tu.


Tu lah serba sedikit yang sempat aku kongsikan. Memang banyak lagi tapi cukuplah tu.. Dah panjang sangat rasanya posting kali ni.

Marahlah.. Tetapi Biar Bertempat..

Penyelidikan tentang psikologi ada menyebut, memendam rasa marah hanya akan menjadikan anda lebih tertekan dan boleh menyebabkan anda akan diserang komplikasi penyakit lain misalnya darah tinggi, sakit jantung dan lebih teruk lagi kanser. Wah, ternyata bukan calang-calang akibatnya kalau anda menahan marah. Oleh itu, adalah lebih baik jika anda lahirkan sahaja emosi marah itu demi membantu minda anda supaya sentiasa sihat dan terpelihara.

Selain itu, ia turut melatih organ tubuh untuk merasa lebih sensitif sehingga mengetahui mana yang perlu diperbetulkan. Jadi, marahlah jika anda mahu marah. Tetapi pastikan anda sedar batasan dan cara terbaik untuk menyalurkan rasa marah itu. Jangan melulu tanpa hujung pangkal. Kelak anda pula yang dilihat kurang cerdik.

Sunday 21 November 2010

Naif

Izinkan aku sekali lagi..
Melalui semua itu..
Semua yang indah untuk dikenang..
Semua yang manis untuk diulang..
Tak akan ada kesalahan untuk dibenci..
Tak akan ada rasa luka di hati..

Dan rasa bersalah membelenggu diri..

Izinkan aku sekali lagi..
Mengasihi dan menyayangi..
Membahagiakan dan menyenangkan..
Dengan setulus hati..

Dengan sepenuh jiwa..
Walau tak sempurna...

Friday 19 November 2010

Catatan Ringkas

Minggu ini kerja 3 hari saja - isnin, selasa dan jumaat. Rabu dan khamis cuti hari raya haji. Rasa pelik sikit balik kampung cuti tengah2 minggu. Jarang2 sekali cuti macam tu. Aku boleh saja sambung cuti hingga jumaat sebab cuti masih banyak. Namun aku ada sebab tersendiri kenapa ambil cuti hanya sehari. Semua orang mempersoalkan kenapa aku tidak sambung saja cuti macam yang aku biasa buat. Aku bagi alasan yang aku akan cuti panjang bulan 12 nanti.

Kat ofis agak sunyi sebab ramai yang cuti. Hari ni sibuk dengan projek Pulau Indah yang masih tak abis2 dengan VOnya.

Sebelum balik bos panggil dan berbincang tentang beberapa perkara melibatkan planning. Agak penting juga.

Esok aku akan berada di Vanessa. Banyak perkara yang akan dibuat seperti yang telah dirancang awal.

Wednesday 17 November 2010

Salam Aidiladha 2010

Hari ini 17 November 2010 bersamaan 10 Zulhijjah 1431H hari raya aidiladha disambut secara sederhana sahaja. Kemeriahan hari raya tidak begitu dirasakan sebagaimana hari raya aidilfitri. Tidak seperti zaman dahulu. Kunjung-mengunjung juga lebih tertumpu kepada rumah saudara mara terdekat. Namun begitu ibadah korban di masjid-masjid atau surau masih menjadi amalan utama pada hari raya aidiladha sebagai memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah SWT.

Layan gambar-gambar yang sempat diabadikan sempena hari raya hari ini.


Si comel putri aleeya yang bijak bergaya


Berhari raya di rumah makcik


Satu-satunya nenek yang masih ada

Sunday 14 November 2010

Hujung Minggu Yang Macam-Macam...

Minggu ini berada di Shah Alam dan Klang lagi. Malam minggu berkunjung ke uptown lagi. Bertemu adik beradik. Aktiviti yang tidak pernah jemu.

Tengahari Ahad berjumpa dengan teman lama sewaktu belajar di PPD iaitu Zana. Jumpa di Giant Klang Sentral. Dah beberapa kali cakap nak jumpa kali ini barulah betul2 jadi. Zana pernah menjadi roommateku pada semester pertama. Seronok sekali bercerita tentang diri masing2. Kami telah membuat perancangan untuk bercuti lagi bersama Ji dan Kak Zura awal tahun depan. Kali ini destinasinya ke pantai timur pula.

Balik dari Klang Sentral singgah rumah along kejap. Makan dan sembang2. Lewat petang selepas balik ke Shah Alam bawa adik ke Tesco pulak. Nak beli barang dapur katanya. Ikutkan sajalah.

Pukul 9.30 gerak balik ke KL. Sampai jam 10.30. Alhamdulillah.


Zana yang sentiasa happy go lucky


Kat rumah along - tengah kupas buah kedondong


Geram tengok buah kedondong ni..
pokok kecil saja tapi buahnya banyak sangat..


Ololo.. comelnya anak2 kucing along ni..

Saturday 13 November 2010

Monolog Perasaanku...


Sesungguhnya kehidupan ini terlalu banyak pengertian yang orang lain tidak dapat memahaminya. Hidupku, rahsiaku, suka dan dukaku penuh cerita pahit manis. Setiap kejadian adalah pengalaman dan pengajaran. Orang kata, pengalaman adalah sekolah yang terbaik untuk kita. Sesungguhnya segala yang baik itu datang daripada Allah dan segala keburukan itu adalah kelemahan kita sebagai hambaNya.

Aku sentiasa cuba untuk melakukan yang terbaik di dalam setiap apa yang aku lakukan. Aku sentiasa berusaha untuk memberi yang terbaik dalam kehidupanku dan orang lain. Aku sentiasa berusaha untuk membahagiakan, menggembirakan dan menyenangkan orang lain, menjaga hati dan dan perasaan sesiapa juga, memenuhi setiap permintaan sesiapa juga selagi mampu, menghargai setiap insan yang aku kenali dan bersyukur dengan apa yang aku miliki.

Pun begitu, aku tahu aku tidak selalu baik dan juga tidak selalu benar. Kadangkala aku juga kelihatan seperti sangat bodoh. Aku memang hanya manusia biasa seperti orang lain, yang punya kelemahan, yang punya kekurangan, yang punya rasa takut, rasa bimbang, resah, marah, kecewa dan kadangkala mungkin tidak bisa diterima akal. Aku juga melakukan kesilapan. Aku juga melakukan kekhilafan. Namun aku sentiasa bermohon agar aku cepat sedar, cepat mengakui, cepat berubah dan memperbaiki semua kelemahan, kesalahan dan kekhilafanku sepantas itu.

Aku bersyukur melalui dan mengharungi perjalanan kehidupan ini. Aku redha dan bersyukur di atas segala nikmat yang Tuhan berikan kepadaku. Aku redha dan bersyukur dengan apa yang Tuhan tentukan untukku. Aku sedari semakin aku bersyukur semakin banyak kebaikan yang aku temukan. Dugaan, cabaran adalah ujian dariNya adalah supaya aku menjadi insaf dan sabar menempuhinya.

Aku mahu jadi seorang yang sentiasa berfikiran positif, rasional dan membuat sesuatu tindakan dengan menggunakan pertimbangan akal yang waras, berhati-hati dan tidak mengikut perasaan. Aku mahu sentiasa tetapkan di hati bahawa Allah tahu apa yang terbaik untukku, Allah menyayangiku dan DIA tidak akan mengujiku dengan sesuatu yang aku tidak mampu menghadapinya.

"Aku gembira dan bersyukur melalui hidupku apa adanya jua".

Bila Cinta...

Bila cinta adalah nafas..
aku ingin hidup selamanya..


Bila cinta adalah keindahan..
aku ingin melihat sepuasnya..

Bila cinta adalah cahaya..
aku ingin menerangi segenap dunia..

Bila cinta adalah lautan..
akan kuharungi ombak dan badai..

Bila cinta adalah pengorbanan..
akan aku relakan diri terkorban..

Bila cinta adalah luka..
aku tak akan pernah peduli betapa sakitnya..


Bila cinta adalah air mata..

biar sebanyak mana ia hadir..
biar sederas mana ia mengalir..
aku akan tetap tersenyum..
agar kamu tahu..
aku begitu tulus menyayangimu..

aku begitu mulus mengasihimu..
dan aku ingin terus mencintaimu..

Thursday 11 November 2010

TANTRA TOTEM

Anda mungkin tidak mempercayainya, tapi ini adalah merupakan nasihat yang baik untuk dibaca. Anda mungkin mempelajari sesuatu jika membacanya..


PERTAMA

Bersedekahlah kepada orang lain lebih daripada yang mereka perlukan dan lakukanlah dengan penuh kerelaan.


KEDUA

Kahwinilah lelaki / wanita yang gemar anda berbicara dengannya, kerana kemahiran berbicara antara satu dengan lain akan menjadi lebih penting apabila usia semakin tua.


KETIGA

Usahlah mempercayai segala perkara yang anda dengari. Berbelanjalah sekadar apa yang ada atau tidurlah seberapa lama yang anda perlu.


KEEMPAT

Apabila kamu berkata, 'Aku Cinta Padamu', maka tunaikanlah.


KELIMA

Apabila mengatakan, 'Maaf', pandanglah dan tenunglah matanya.


KEENAM

Bertunanglah sekurang-kurangnya enam bulan sebelum kamu diijabkabulkan.


KETUJUH

Percayailah cinta pandang pertama.


KELAPAN

Usah tertawakan impian orang lain. Manusia tanpa impian tidak memiliki apa-apa.


KESEMBILAN

Cintailah seseorang dengan sepenuh hati dan penuh kasih sayang. Sungguhpun anda akan berasa seolah-olah diri anda tersiksa, tapi percayalah itulah satu-satunya untuk melengkapkan kehidupan ini.


KESEPULUH

Jika berlaku perselisihan pendapat, bertengkarlah secara aman. Usahlah menyebut nama sesiapa ketika bertengkar.


KESEBELAS

Usahlah menilai seseorang berdasarkan peribadi keluarga mereka.


KEDUABELAS

Berbicaralah dengan tenang dan berfikirlah dengan pantas.


KETIGABELAS

Apabila seseorang bertanyakan satu soalan yang tidak anda gemari, lontarkanlah senyuman dan bertanyalah padanya, 'Kenapa anda ingin tahu?'


KEEMPATBELAS

Ingatlah bahawa setiap cinta dan pencapaian yang besar akan melibatkan pengorbanan dan risiko yang besar.


KELIMABELAS

Ucaplah 'Semoga anda diberkati' apabila mendengar seseorang bersin.


KEENAMBELAS

Apabila anda kerugian, janganlah jadi kurang ajar.


KETUJUHBELAS

Berpeganglah kepada tiga R:
1. Rasa hormat pada diri sendiri;
2. Rasa hormat kepada orang lain;
3. Rasa tanggungjawab terhadap semua tindakan anda


KELAPANBELAS

Usahlah benarkan pertikaian yang sebesar hama merosakkan sebuah persahabatan yang besar.


KESEMBILANBELAS

Apabila menyedari bahawa anda telah melakukan kesalahan, usahlah berlengah untuk perbetulkan kesalahan itu.


KEDUAPULUH

Tersenyumlah ketika menjawab telefon. Pemanggil akan melihatnya daripada suara yang mereka dengar.


KEDUAPULUH SATU

Ada ketikanya anda perlu bersendirian.

Sempurnakah Kita?

Jika kamu memancing ikan..
Setelah ikan itu terlekat di mata kail..
Hendaklah kamu mengambil ikan itu..
Janganlah sesekali kamu LEPASKAN ia semula kedalam air begitu sahaja..
Kerana ia akan SAKIT oleh kerana bisanya ketajaman mata kail kamu..
Dan mungkin ia akan MENDERITA selagi ia masih hidup..

Begitulah juga..

Setelah kamu memberi banyak PENGHARAPAN kepada seseorang..
Setelah ia mulai MENYAYANGI kamu..
Hendaklah kamu MENJAGA hatinya..
Janganlah sesekali kamu terus MENINGGALKANNYA begitu saja..
Kerana dia akan TERLUKA oleh kenangan bersamamu..
dan mungkin TIDAK dapat MELUPAKAN segalanya selagi dia masih mengingati kamu..

Jika kamu MENADAH air biarlah berpada..
Jangan terlalu berharap pada takungannya dan menganggap ia begitu teguh..
Cukuplah sekadar untuk KEPERLUANMU sahaja..
Kerana apabila ia mulai RETAK tidak sukar untuk kamu menampal dan memperbaikinya semula..
Dan bukannya terus dibuang begitu sahaja..

Begitulah juga..

Jika kamu sedang memiliki seseorang TERIMALAH dia seadanya..
Janganlah kamu terlalu mengaguminya dan mengganggapkan dia begitu istimewa..
Anggaplah dia manusia biasa..
Kerana apabila dia melakukan KESILAPAN tidaklah sukar..

Untuk kamu MEMAAFKANNYA dan MEMBOLEHKAN hubungan kamu akan TERUS hingga ke akhir hayat..
Dan bukannya MENGHUKUMNYA dan MENINGGALKAN dia begitu sahaja kerana kamu merasa terlalu kecewa dengan sikapnya..
Lalu semuanya akan menjadi TERHENTI begitu sahaja..

Jika kamu MEMILIKI sepinggan nasi..
Yang kamu pasti baik untuk diri kamu..
Yang MENGENYANGKAN dan BERKHASIAT..
Mengapa kamu berlengah lagi? Cuba mencari makanan yang lain..
Kerana terlalu ingin mengejar KELAZATAN..
Kelak, nasi itu akan BASI sendiri dan kamu sudah tidak boleh menikmatinya lagi..
Kamu akan MENYESAL..

Begitulah juga..

Jika kamu telah bertemu dengan seorang INSAN..
Yang kamu pasti boleh membawa KEBAIKAN kepada dirimu..
MENYAYANGIMU, MENGASIHIMU dan MENCINTAIMU..
Mengapa kamu berlengah lagi?
Cuba MEMBANDINGKANNYA dengan yang lain..
Terlalu mengejar KESEMPURNAAN..
Kelak, dia akan BERJAUH HATI..
Lalu kamu akan KEHILANGANNYA apabila dia menjadi milik orang lain..
Kamu juga yang akan MENYESAL dan tidak ada gunanya lagi..


Oleh itu janganlah kita terlalu mengejar kesempurnaan kerana ia bukanlah faktor utama kebahagiaan yang sempurna, sedangkan jika kita boleh memaafkan kesilapan orang yang kita sayang dan akur dengan kelemahannya sebagai manusia biasa serta bersyukur dengan apa yang kita sudah miliki kita akan bahagia, bahagia dan terus bahagia. Itu lebih bermakna..

Wednesday 10 November 2010

Bila Tak Sihat..

Sesungguhnya kesihatan adalah nikmat yang paling besar ertinya bagi setiap insan. Sebanyak mana pun harta, kekayaan, kemewahan tidak sama nilainya dengan kesihatan yang baik. Tidak ada ertinya lagi semua itu jika kita sudah sakit. Kesihatan yang baik bermakna kita dapat melalui kehidupan ini dengan sempurna, dengan hati yang gembira, wajah yang ceria, perasaan yang bahagia. Bila sudah sakit kehidupan jadi terganggu, hati jadi celaru, fikiran jadi buntu, perasaan tidak menentu, makan tidak lalu. Lihatlah wajah mereka yang sakit. Berbagai ekpresi yang dapat dilihat. Sedih, sayu, kasihan, simpati bagi kita yang melihatnya. Bersyukurlah kerana kita masih sihat. Oleh itu jagalah kesihatan dengan sebaiknya sebelum tiba waktunya.

Rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda yang bermaksud : "Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa sihat sebelum sakit. Masa senang sebelum datangnya masa susah. Masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Masa muda sebelum datang masa tua dan masa hidup sebelum tiba masa mati." (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).

p/s aku menulis dalam keadaan tidak begitu sihat..

Sunday 7 November 2010

Hujung Minggu @ Shah Alam

Hai.. lama betul tak update blog ni.. Sebenarnya tak ada cerita yang menarik untuk dipaparkan. Kehidupan dilalui seperti biasa. Kerja, balik rumah, esok kerja lagi, balik rumah, esok kerja lagi sehinggalah hari khamis. Hari jumaat cuti Deepavali.. Disebabkan minggu lepas dah balik kampung maka minggu ini tidaklah balik lagi. Pagi jumaat tu, selepas habis berkemas, pergi ke Tesco Ampang. Shopping barang keperluan rumah. Disebabkan lama tak shopping maka banyaklah barang yang dibeli. Segala bagai keperluan.

Minggu ini hanya berkampung di Shah Alam. Tidak ada program yang khusus. Hanya berehat-rehat. Malam sabtu sempat pergi ke uptown dan makan nasi kukus kegemaran. Gambar-gambar yang diambil hanyalah untuk mengisi masa yang terluang.

Monday 1 November 2010

Bertuahnya Duk Kampung...

Posting kali ini berbeza sedikit. Ceritanya biasa2 saja tapi bila melihatkan gambar-gambar yang ada memang menyegarkan mata dan minda kita..

Alangkah bertuahnya tinggal di kampung. Serba-serbinya murah dan mudah diperolehi terutama bahan masakan, ulam-ulaman, sayur-sayuran dan buah-buahan. Boleh ditanam sendiri di sekeliling rumah saja. Bayangkan dah berapa banyak kos boleh dijimatkan jika cili, serai, kunyit, lengkuas, halia, bunga kantan, daun kari, daun pandan, daun kesum, limau purut, limau kasturi, pucuk ubi, kacang botol, kacang bendi, terung, kacang panjang, pucuk kayu manis dan lain-lain ditanam sendiri. Bukan sahaja puas hati melihat hasilnya yang segar-segar malahan yang paling utama dapat menjimatkan kos membeli bahan-bahan tersebut..

Abah pulak memang jenis seorang yang rajin bercucuk-tanam. Inilah hasilnya dari usaha abah. Lihat sajalah betapa seronoknya menikmati hasil tanaman sendiri. Kata orang tidak rugi berbudi kepada tanah..

Jom layan gambar-gambar nih..


Kacang kelisa atau kacang botol


Pucuk ubi - masak lemak atau celur sahaja


Kangkung - goreng belacan


Pucuk manis - masak lemak campur keledek


Jantung pisang - masak lemak, kerabu atau celur saja


Daun pegaga - buat kerabu


Daun pandan - perasa asli


Daun kesum - masak asam pedas atau laksa


Bunga kantan - masak asam pedas atau laksa.. wajib letak ni..


Inilah cekur - orang guna untuk buat kerabu


Halia


Serai


Lengkuas - untuk masak rendang


Kunyit


Daun kari - baunya menyelerakan masakan


Cili api - buat sambal belacan


Limau kasturi - banyak kegunaanya


Limau purut - daunnya banyak digunakan dalam masakan


Pisang - boleh buat macam2 kuih..


Ni namanya timun aceh - makan dengan santan atau gula


Tengok tu.. tembikai kuning pun ada - manis sangat rasanya..

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin