Tuesday 12 October 2010

Saya Dah Kena Kompaun...

Oppss.. jangan panik ye na.. ini baru kompaun parking! bukan saman PDRM, saman trafik, saman ekor, atau saman apa.. Sepanjang saya memandu saya tak pernah kena saman. Saya patuh semua undang-undang.. ye ke!

Tetapi baru-baru ini parking tempat saya bekerja yang selama ini percuma tiba-tiba kena bayar pulak sejak bermulanya bulan Oktober ini. Tempat parking tu adalah khusus untuk kebanyakan pekerja pejabat di bangunan berhampiran. Tidak tahu kenapa tiba-tiba perlu dibayar. Mungkin sudah tamat kontrak di antara pihak pemaju atau majlis. Disebabkan tempat itu percuma maka orang ramai dari sekitar kawasan tersebut turut 'menumpang' parking di situ walaupun terpaksa berjalan jauh ke pejabat atau premis mereka. Maka kawasan itu sentiasa penuh. Tapi bagi saya tiada masalah kerana saya memang datang awal. Namun sekarang tiada yang percuma lagi. Mulai dari tarikh tersebut semua tempat perlu dibayar. Mesin-mesin tiket parking telah sedia dipasang di kawasan tersebut. Jika tidak mahu bayar terimalah macam yang saya baru dapat ini.. hehe..

Bayaran bagi setiap satu jam adalah sebanyak 50 sen. Saya anggarkan tempoh kutipan adalah dari 9 pg - 5 ptg. Bermakna satu hari saya perlu memperuntukkan sebanyak RM4 bagi tempoh selama 8 jam. 5hr x 4minggu (anggaran) dah berapa tu.. Adoii.. bertambahlah bajetku..

Saya tidak mahu persoalkan tentang undang-undang yang telah ditetapkan. Cuma perlaksanaan undang-undang tersebut perlu mudah, efisien serta mesra pengguna. Yang menjadi masalah di sini adalah kelemahan yang ada pada mesin. Mesin hanya boleh menerima duit syiling. Tidak praktikal langsung untuk membayar sejumlah RM4 menggunakan duit syiling. Dan tidak semua orang mempunyai simpanan syiling yang banyak setiap hari. Sepatutnya mesin yang ada diganti dengan mesin seumpama di pusat-pusat membeli-belah yang boleh menggunakan wang kertas. Disebabkan kelemahan seperti itu maka ramai yang gagal membayar atau sengaja untuk tidak membayar.

Satu lagi kelemahan yang ada yang menjadi masalah di sini adalah perlaksanaan sistem meletak kenderaan. Taman Melawati adalah satu tempat di mana banyak pejabat-pejabat dan premis perniagaan beroperasi. Di sini juga menjadi tumpuan disebabkan terdapat bank-bank utama dan pejabat Jabatan Pendaftaran Negara. Orang dari luar banyak tertumpu ke sini bagi membuat pelbagai urusan. Kawasan ini memang sentiasa sesak dan tidak kecukupan tempat parking. Bagi pemilik pejabat atau premis perniagaan pula berpendapat adalah tidak adil dan tidak berbaloi untuk membayar parking kerana pejabat dan premis itu adalah milik persendirian mereka sejak sekian lama. Malahan ada yang berpendapat biarlah sebanyak mana notis kompaun dikumpul mereka tidak akan membayarnya. Cukuplah dikenakan bayaran kepada mereka yang datang berurusan di situ sahaja. Tapi bagaimana mahu dipastikan siapa pemilik dan siapa orang yang datang berurusan? Orang yang datang memeriksa tiket hanya menulis notis kompaun pada kereta yang tidak mempamerkan tiket parking tersebut. Tidak kira kereta siapa.

Selain itu mereka waktu memeriksa tiket juga tidak menentu. Ada yang datang pagi, tengahari atau petang. Kalau hari hujan tak datang langsung. Kebanyakan mereka yang takut mendapat notis sentiasa berwaspada dan awas akan kehadiran pemeriksa tersebut. Jika nampak kelibat mereka waktu itulah masing-masing turun dari pejabat berebut mencari mesin untuk membeli tiket.

Kesimpulannya, perlu ada satu sistem yang lebih berkesan bagi membolehkan peraturan meletak kenderaan ini dapat dipatuhi. Selagi undang-undang tidak dikuatkuasakan dan tindakan yang lebih tegas tidak dikenakan, selagi itulah orang ramai tidak akan mengambil kisah undang-undang dan peraturan tersebut. Sehingga terdapat ura-ura baru-baru ini pihak PBT akan memohon untuk melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang sebagaimana pihak JPJ yang tidak akan memperbaharui cukai jalan selagi kompaun atau saman tidak dijelaskan. Sehingga tiba masa itu, selamatlah bagi mereka yang tidak mempedulikannya... termasuk saya juga.. hehe...

Perlukah saya membayar kompaun seperti di atas?

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin