Tuesday 17 August 2010

Puasa Dulu-Dulu

Hari ni mahu menulis kenangan puasa dulu-dulu. Zaman masa kecil. Banyak perbezaan puasa dulu dengan sekarang. Aku mula puasa seawal usia 6 tahun. Tapi tidak penuh sebulan. Waktu sekolah rendah aku puasa tapi waktu itu agak nakal sikit. Selalu mintak dengan mak nak buka puasa. Entah kenapa bila pergi ke dapur nampak makanan yang ada tak boleh tahan. Mak memang marah tapi aku tetap meminta dengan mak. Sudahnya mak tak boleh larang lagi. Dah memang niat aku nak buka puasa. Jahat sungguh aku..

Satu perkara yang aku masih ingat.. dan sudah tidak ada lagi sekarang.. dulu-dulu waktu petang kami akan bertukar juadah dengan jiran-jiran terdekat. Biasanya kuih-muih. Akulah selalu yang disuruh emak menghantar kuih ke rumah jiran. Kekadang sampai 2-3 buah rumah. Bila tiba waktu buka, penuh juadah buka puasa dengan kuih-muih. Itulah meriahnya puasa dulu-dulu yang tidak ada lagi masa kini..

Satu lagi kenangan.. dulu-dulu di kampung budak-budak akan main meriam. Macam-macam jenis meriam yang dibuat sendiri. Ada meriam tin yang ditanam dalam tanah, meriam buluh dan paling hebat sekali tentunya yang dibuat daripada gelung konkrit. Budak-budak kampung akan berlawan siapa yang paling kuat bunyi meriam. Wah.. memang gamat satu kampung waktu petang hingga malam bila masing-masing berlumba bunyi meriam. Waktu itu aku hanya melihat dari jauh abang-abangku bermain. Tak berani nak dekat..

Dulu-dulu tiada halangan bermain mercun macam sekarang. Jadi macam-macam jenis mercun dan bunga api ada. Selalunya lepas buka baru main mercun. Di samping meriam bunyi mercun juga memang gamat satu kampung..

Itulah serba sedikit kenangan puasa dulu-dulu. Semuanya hanya tinggal kenangan. Walaupun telah lama berlalu ianya tetap manis untuk dikenang..

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin