Wednesday 1 December 2010

Disember - Bulan Untuk Bersantai...

Cepatnya masa berlalu. Sedar tidak sedar tinggal sebulan sahaja lagi untuk memasuki tahun baru 2011. Sebelas bulan yang telah berlalu mencatatkan pelbagai cerita, peristiwa, pahit manis kehidupan. Semuanya dilalui dengan berbagai perasaan. Sesungguhnya kehidupan ini penuh dengan warna.

Bulan ini adalah bulan terakhir bagi kalendar 2010. Seboleh-bolehnya aku ingin memenuhi bulan terakhir ini dengan cerita paling indah dan paling manis untuk dikenang. Tidak mahu terlalu memikirkan persoalan tentang kerja. Biarlah bulan ini dilalui dengan perasaan yang gembira, ceria, dan dalam suasana santai sahaja.

Untuk beberapa minggu terakhir ini aku telah ada program yang telah sedia diatur awal. Itu yang membuatkan aku sangat teruja dan seperti tidak sabar untuk melaluinya.

Hujung minggu ini jika tiada aral, aku akan pergi bercuti dengan seorang teman lama ke destinasi yang masih belum dipastikan lagi. Semuanya akan dirancang pada saat akhir. Yang pasti kami akan pergi keluar daripada KL ini. Sudah lama plan ini dirancang dan baru kini akan menjadi kenyataan, insyaallah.

Minggu berikutnya aku dan keluarga akan berkunjung ke Bagan Serai, Perak bagi menghadiri majlis kenduri saudara di sana dan sekaligus bercuti ke Lake Town, Bukit Merah.

Minggu seterusnya, sekali lagi percutian bersama keluarga telah diatur di Port Dickson pada tarikh 21-23 Disember. Percutian 3hr 2m di Regency Tanjung Tuan ini adalah untuk kali yang ketiga. Walaupun untuk kali yang ketiga tidak terasa jemu kerana persekitaran percutian yang menarik. Untuk itu aku telah merancang untuk bercuti seminggu bagi menghabiskan cuti tahunan yang masih banyak.

Untuk minggu terakhir aku membiarkan masa dan keadaan untuk menentukan. Walaupun aku telah ada beberapa perkara yang aku rancang untuk dibuat pada tarikh tersebut namun semuanya akan dapat dipastikan pada saat2 akhir. Aku tidak akan mendetailskan di sini perancangan tersebut. Biarlah keadaan dan masa yang merancang untukku. Mana tahu ada kejutan yang aku sendiri tidak tahu. Segalanya mungkin.

Walau apapun perancangan yang dibuat segalanya ditentukan oleh Allah SWT jua. Kita manusia hanya mampu merancang, Allah juga yang lebih mengetahui segala-galanya. Aku hanya berdoa semoga segala perancangan tersebut berjalan lancar dan sempurna.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin