Thursday, 21 October 2010

Andai Dapat Ku Undur Masa

Andainya dapat ku undur masa, aku ingin sekali kembali ke alam persekolahan di SMVK (Sekolah Menengah Vokasional Klang) tahun 1988-1999. Sesungguhnya terlalu banyak kenangan manis sewaktu aku berada di sana.

Tanggal 22 Februari 1988 aku melangkah kaki ke SMVK. Sejak dari itu bermulalah kehidupanku sebagai penghuni asrama dan pelajar.

Aku ditempatkan di dorm BG3A. Terdapat 14 orang pelajar ditempatkan di situ termasuk aku. Bagiku dorm ini yang paling best sekali di antara 4 dorm. Semuanya baik-baik dan hubungan kami begitu rapat sekali. Minggu pertama tinggal di sini adalah saat yang paling menyeksakan bagi kami sebagai freshie. Minggu itu dikenali sebagai Minggu Suai Kenal tetapi bagi kami minggu itu terlalu menyeksakan. Kami kena ‘ragging’ dengan senior-senior yang lain. Bermacam-macam jenis ragging yang dikenakan. Walaupun di hati rasa sakit, geram, marah terpaksa ditahan juga. Seminggu itu masa kami begitu padat dengan aktiviti yang telah diatur. Setiap hari kami kena bangun awal pagi. Bermula dengan kuliah subuh, sembahyang subuh berjemaah, aktiviti sukan dan lain-lain ragging yang sengaja dibuat. Aku rasa bersyukur kerana banyak aktiviti yang aku tidak boleh sertai. Namun bagi kawan-kawan yang lain kesian aku melihatnya. Tidak ada masa rehat langsung. Hari-hari kami kena tengking dengan kakak senior. Kami harus mengingat semua nama penuh dan tidak boleh memanggil dengan nama yang singkat. Setiap petang selepas habis aktiviti sukan semua kakak-kakak akan beratur di sepanjang tingkat dan kami akan mula memberi salam dan menyebut nama penuh masing-masing. Kerja gila. Mana boleh ingat semua dalam masa yang singkat. Namun begitu aku gembira kerana ada seorang kakak ingin mengambilku menjadi adik angkatnya. Namanya Mazlinda atau aku panggil Kak Lin. Kak Lin baik dan sentiasa mengambil berat akan diriku. Aku suka dapat kakak sepertinya. Dia juga aktif. Adanya Kak Lin membuatku sedikit gembira. Begitulah sepanjang minggu yang aku lalui. Malam penutup Minggu Suai Kenal adalah malam yang ditunggu-tunggu. Berakhirlah sudah saat ngeri kehidupan di asrama yang selalu menjadi ingatan.

Aktiviti harian di asrama memang sudah ditetapkan seperti jadual. Pada hari persekolahan kami bangun awal pagi. Waktu ini keadaan agak sibuk, maklumlah tempat mandi agak terhad dan harus dikongsi bersama oleh penghuni setiap dorm. Masing-masing tidak mahu terlewat dan tergesa-gesa. Jam 7.00 pagi semua pelajar akan beratur di dewan makan untuk mengambil sarapan pagi. Selapas bersarapan barulah kami akan beramai-ramai menuju ke sekolah yang terletak tidak jauh dari asrama. Waktu persekolahan dari jam 7.40 pagi hingga 1.00 tengahari. Tamat waktu persekolahan kami pulang ke asrama dan terus ke dewan makan untuk makan tengahari. Waktu tengahari biasanya adalah waktu yang paling gamat. Maklumlah perut sudah lapar dan kadang-kala keadaan agak panas sedikit. Ditambah pula dewan makan bercampur dengan pelajar lelaki. Jadi suasana hingar-bingar tidak dapat dielakkan lagi. Selepas AJK membaca doa makan barulah semua pelajar menikmati hidangan dengan berselera sekali. Selepas makan semua pelajar naik ke asrama dan waktu inilah masing-masing bebas untuk membuat aktiviti sendiri. Sama ada sembahyang, mandi, membasuh, menggosok baju dan lain-lain. Tepat pukul 5.00 petang, semua pelajar dikehendaki meninggalkan asrama untuk membuat aktiviti sukan dan riadah. Tidak ada siapa dibenarkan berada di asrama waktu ini. Waktu ini pelajar bebas untuk melakukan apa-apa aktiviti. Bagi pelajar perempuan biasanya kami akan bermain bola jaring, bola tampar, badminton atau hanya duduk memerhati di tepi padang. Aktiviti tamat jam 6.30 petang. Sekali lagi kami akan berebut-rebut menggunakan bilik mandi dan menyiapkan diri kerana hanya ada setengah jam sebelum loceng waktu makan malam berbunyi tepat pukul 7.00. Selepas makan kami akan solat maghrib. Pukul 8.00 hingga 10.30 malam semua pelajar dikehendaki berada di bilik belajar kerana waktu itu diperuntukkan untuk belajar, membuat tugas sekolah atau mengulangkaji pelajaran. Biasalah, jangkamasa belajar yang agak panjang membuatkan kami sering mengantuk dan kadang-kadang tertidur atas meja. Untuk menghilangkan rasa mengantuk sesekali kami bertandang ke bilik study dorm BG4 ataupun bilik study freshie. Sesekali warden asrama datang buat spotcheck terkejut juga kami. Habis waktu belajar kami biasanya akan terus sembahyang Isyak. Tepat jam 11.00 malam semua lampu mesti ditutup dan tibalah masa untuk tidur. Walaupun belum mahu tidur terpaksa juga pejam mata kerana tidak ada apa yang boleh dibuat dalam keadaan gelap. Hanya ada lampu koridor dengan cahaya yang samar-samar. Begitulah sepanjang hari kehidupan di asrama yang telah diatur dengan ketat. Walaupun begitu bila tiba hujung minggu kami diberi kelonggaran untuk membuat aktiviti sendiri. Tidak ada aktiviti khusus. Kami juga diberi kebenaran untuk keluar bandar pada hari Jumaat bagi pelajar perempuan dan Sabtu bagi pelajar lelaki. Kami juga boleh menonton televisyen sepanjang hari. Ada juga yang mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung masing-masing. Bagi yang tidak pulang ibu bapa atau ahli keluarga akan datang melawat. Waktu inilah saat yang paling menggembirakan kerana selain dapat berjumpa keluarga pastinya akan disertai dengan buah tangan atau makanan yang enak untuk dikongsi bersama rakan-rakan sedorm.

Di sini, aku disenangi dan disukai oleh ramai orang. Aku tidak tahu kenapa. Mungkin sikap semulajadiku. Kata mereka aku seorang yang lembut, baik hati dan peramah. Aku sentiasa diberi perhatian oleh kawan-kawanku. Malahan, suatu ketika aku pernah mendapat anugerah pelajar paling ‘baik’ di satu majlis di asrama. Aku rasa terkejut dan sangat terharu waktu itu. Namun kenangan yang tidak dapat dilupakan bila aku memenangi nombor cabutan bertuah dalam satu majlis jamuan hari raya. Sesuatu yang tidak aku duga. Memang sangat manis untuk dikenang.

Tinggal di asrama mengajarku supaya hidup berdikari dan belajar menguruskan diri sendiri. Selama ini aku banyak bergantung kepada keluarga namun kini semuanya harus dilakukan sendiri. Tetapi aku tidak mempunyai banyak masalah. Kerana aku telah biasa dengan kehidupan sebegitu. Malah aku rasa bersyukur kerana pengalaman hidup banyak membantuku dalam hidup berdikari.

Di sini aku mengambil jurusan Pengurusan Pejabat (PPJ). Mata pelajaran yang diajar merangkumi segala subjek yang berkaitan dengan pejabat dan aku didedahkan kepada tugas-tugas sebagai seorang setiausaha. Di kelasku semua pelajar adalah perempuan. Di sini aku belajar subjek-subjek kemahiran seperti menaip, trengkas, asas pemprosesan maklumat, amalan pejabat di samping subjek asas yang lain. Guru kelasku namanya Puan Zuraidah. Dia mengajar subjek amalan pejabat. Orangnya baik namun waktu belajar kami sering mengantuk. Dalam banyak-banyak subjek aku paling suka trengkas. Subjek ni senang. Belajar macam baru nak kenal huruf. Cikgu yang mengajar namanya Pn. Siva / Raj. Hari-hari ia akan membaca transkripsi melalui kaset dan kamipun menulis trengkas. Cikgu Siva memang teliti. Setiap kesilapan akan dipotong markah. Ramai yang gagal dalam subjek ini kerana markah dipotong agak banyak. Namun begitu selalunya aku mendapat markah paling tinggi dalam kelas. Cikgu yang paling aku dan kawan-kawanku tidak suka ialah cikgu menaip. Cik Azna namanya. Garang dan terlalu cerewet. Setiap gerak-geri kami ditelitinya. Kalau dia marah memang semua menyampah. Selalu juga kawan-kawanku kena berdiri luar kelas waktu ia mengajar atas kesilapan waktu menaip. Memang kami tidak suka dengannya. Lebih-lebih lagi ia menjadi guru kelas kami waktu di tingkatan lima.

Di SMVK aku boleh dikatakan seorang pelajar yang pandai di dalam kelas. Setiap kali peperiksaan aku mendapat tempat pertama. Sebenarnya aku bukanlah belajar sangat tetapi di kelasku tidak banyak saingan. Dengan kelayakan yang aku dapat dalam SRP berbanding dengan rakan-rakanku yang lain tidak hairanlah aku sentiasa dapat mengekalkan keputusan terbaik setiap kali peperiksaan. Namun begitu bila peperiksaan SPMV kian hampir aku dan semua teman-teman yang lain mula sibuk menelaah pelajaran. Aku mula rasakan yang aku perlu lakukan lebih usaha dari sedia ada memandangan peperiksaan SPMV ini amat penting buatku. Setiap malam aku dan teman-teman akan tidur lewat untuk mengulangkaji pelajaran. Namun begitu kami tidak dibenarkan study di bilik study memandangkan semua lampu harus ditutup menjelang pukul 12.00 tengah malam. Terpaksalah kami menyambung study di surau menggunakan lampu koridor dalam keadaan yang tidak begitu selesa. Kadang-kadang aku tidur dulu dan bangun pukul 4 atau 5 pagi semata-mata nak study. Waktu itu aku rasakan terlalu banyak yang belum aku ulang kaji. Takut juga memikirkan peperiksaan yang semakin hampir. Hari yang mendebarkan tiba juga tanggal 30 Oktober 1989. Aku menduduki peperiksaan SPMV dengan memakai angka giliran BA01 V526. Aku cuba menjawab soalan dengan sebaik mungkin. Sepanjang tempoh peperiksaan aku tidak putus-putus berdoa agar setiap usaha yang aku lakukan mendapat kejayaan. Peperiksaan berjalan dengan lancar hinggalah tamat tempohnya. Aku berserah kepada Tuhan dengan usaha yang telah aku lakukan.

Dengan tamatnya peperiksaan maka berakhirlah sudah kehidupanku selama dua tahun di SMVK. Dua tahun berada di SMVK aku rasakan tempoh yang amat singkat. Aku sebenarnya gembira dengan kehidupan di SMVK. Tahun pertama agak perit kerana waktu itu aku adalah junior dan sering diperhati oleh kakak senior. Bila masuk tahun kedua kami bebas untuk membuat apa saja kerana tiada lagi kakak-kakak yang akan memerhati setiap tingkah laku kami. Sesungguhnya aku dan teman-teman amat sedih untuk meninggalkan segala memori yang sama-sama kami lalui sepanjang tempoh dua tahun itu. Terlalu banyak kenangan pahit manis yang meninggalkan kesan di sudut hati kami semua. Malah sepanjang tempoh dua tahun itulah aku menilai erti persahabatan sebenarnya. Aku gembira dapat bersama melalui susah payah kehidupan sewaktu junior. Aku gembira menjadi pelajar senior yang disenangi oleh adik-adik. Aku gembira kerana menjadi seorang yang disukai dan disayangi teman-teman. Namun begitu, ada juga kenangan pahit yang aku lalui. Biarlah aku menyimpannya di sudut hati.

Teman sedorm ku - Fauziah (Ji), Salmah (Sal), Marzidah (Along), Mardiana (Nana), Nor Azliana (Liana), Zubaidah (Zu), Nor Azlina (Ina), Nor Azizah (Zah), Fadilah (Dila), Norasmanah (Mana), Junaidah (Jun), Norliza (Liza) dan Siti Zubaidah (Siti) - entah di manakah kalian berada kini. Pastinya kalian sedang berbahagia dengan kehidupan masing-masing. Rindu sekali untuk bertemu dan menyingkap kenangan masa lalu.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin